Sunday, March 13, 2016

Penggunaan E-Dagang Oleh Usahawan-Usahawan Di Malaysia

Pengenalan
            Penggunaan internet oleh masyarakat Malaysia semakin pesat dan berkembang. Ini dapat dibuktikan melalui statistik kedudukan Malaysia dalam indeks berkaitan ICT yang diukur melalui “Networked Readiness Index (NRI)” bagi suku ke dua 2015 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di mana Malaysia menduduki tangga ke 32 dunia. NRI mengukur keupayaan negara mengeksploitasikan peluang-peluang yang yang disediakan oleh ICT. Indeks ini telah disusun untuk 115 ekonomi oleh World Economic Forum. Di antara peluang yang disediakan oleh ICT ialah e-dagang. E-dagang merupakan satu tindakan melakukan transaksi bisnes secara elektronik dengan menggunakan internet sebagai medium komunikasi yang paling utama. Ia merujuk kepada perniagaan atau perdagangan yang menggunakan peralatan dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat sebagai medium untuk tujuan komunikasi dan juga transaksi. (Wikipedia)

Sejarah Dan Evolusi E-Dagang
            Perkembangan e-dagang bermula sejak kemunculan internet pada tahun 1969 seterusnya berkembang dan wujudnya e-dagang. Internet wujud pada tahun 1969 di Amerika iaitu kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford Reseach Industri, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara. Mereka telah mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain yang dikenali dengan istilah ARPAnet (Advanced Research Project Agency) yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan negara Amerika Syarikat.
            Selepas tiga tahun, lebih daripada lima puluh universiti telah bergabung bersama-sama dalam jaringan (network), dan jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama jaringan antara kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini mulai terhubung di antara satu dengan yang lain, dan muncul lah istilah internet.
            Dalam konteks perniagaan, internet membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia perniagaan yang dikenali sebagai Digital Marketing. Awal tahun 1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat mencapai jutaan pelanggan, maka muncullah istilah baru iaitu Electronic Commerce atau lebih dikenali sebagai e-commerce. Perdagangan elektonik juga dikenali sebagai e-dagang. E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.
            E-dagang menggunakan internet untuk mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual, dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, dan sebagainya dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak. Aktiviti e-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelanggan secara online.
           
Jenis-jenis e-dagang ialah :
i)             Business to business (B2B) – Business to business telah pun digunakan beberapa tahun yang lalu dan juga dikenali sebagai EDI (Electronic Data Interchange).            EDI dilaksanakan melalui hubungan secara terus antara dua bisnes. Kedua-dua bisnes ini menghantar maklumat secara elektronik di antara satu sama lain.

ii)            Business to customer (B2C) melalui internet – Merupakan hubungan di antara bisnes dengan pelanggan. Contohnya lazada.com menawarkan pelbagai barangan melalui laman sesawangnya. Pengguna hanya perlu membuat bayaran melalui kad kredit ataupun e-banking.

iii)           Customer to customer (C2C) – Contoh laman yang melibatkan hubungan pelanggan dengan pelanggan adalah laman lelongan. Contohnya eBay.com. Pelanggan menyenaraikan barang-barang untuk dijual ke laman lelongan. Pelanggan-pelanggan lain akan masuk ke laman tersebut untuk membuat penawaran.

iv)           M-CommerceMobile commerce atau M-Commerce merujuk kepada penggunaan peranti digital tanpa wayar untuk membolehkan transaksi secara atas talian. Pelanggan menggunakan rangkaian tanpa wayar untuk menyambungkan telefon selular dan PDA terus ke web. Pelanggan mobile mampu menjalankan pelbagai transaksi termasuk perbankan, tempahan pelancongan, urusniaga saham dan sebagainya.

Kepentingan E-Dagang Dalam Perniagaan
E-dagang adalah berkaitan dengan penjualan, periklanan, pemesanan produk yang semuanya melalui internet. Jutawan Internet, Irfan Khairi menyatakan bahawa penggunaan internet sebagai alat bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan dan kelebihan itu digunakan bagi menjalankan urusan penjualan dengan lebih berkesan. Internet merupakan satu medium komunikasi secara terus di antara peniaga dengan pembeli tanpa perlu bersemuka.
Penggunaan e-dagang kini telah berkembang dan menjadi perhatian terutamanya dalam industri yang melibatkan perdagangan, perniagaan, pelaburan, perbankan dan sebagainya. Pada masa kini, penggunaan telefon pintar dan laman sosial seperti “facebook”, “Instagram”, dan lain-lain yang meluas di kalangan masyarakat telah merancakkan lagi pertumbuhan e-dagang di kalangan masyarakat.
            Konsep e-dagang bukan hanya setakat aktiviti perdagangan dan kewangan sahaja tetapi ia juga dapat meluaskan pasaran perniagaan ke seluruh negara melalui teknologi komunikasi. Skop e-dagang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti peniaga, pembekal, pembeli, pengguna, pihak kerajaan, pengedar dan lain-lain lagi. Kebanyakkan syarikat mahupun firma perniagaan memilih untuk menggunakan sistem e-dagang kerana ianya mudah dikendalikan dan boleh meningkatkan keuntungan.
            Jika dahulu, perniagaan dijalankan hanya menerusi face to face sahaja tetapi dengan adanya e-dagang, hubungan di antara perusahaan dengan entiti luar dapat dilakukan dengan lebih cepat, lebih baik dan dengan harga yang lebih murah.
            Kemunculan World Wide Web, subset daripada internet, menyambungkan rangkaian komputer dengan cara yang lebih spesifik. Ia juga merupakan lambang perubahan penting untuk perdagangan elektronik dengan mengadakan satu sistem teknologi yang mudah untuk menyelesaikan masalah dan menyebarkan maklumat. World Wide Web menyediakan paparan muka hadapan piawai (standard interface) yang memudahkan sesiapa sahaja untuk mengakses maklumat daripada internet. Disebabkan internet dapat diakses oleh berjuta-juta pengguna di seluruh dunia, tidaklah memeranjatkan bahawa perdagangan yang berasaskan prinsip mencari keuntungan, menggunakannya sebagai medium untuk menambah produktiviti dalam urus niaga mereka.
            E-dagang meliputi enam sektor perniagaan yang utama iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang professional, peruncitan, dan pelancongan. Kesemua sektor menyumbangkan pertumbuhan yang ketara terhadap perdagangan melalui talian.

Penggunaan E-Dagang Secara Global
            Kepesatan teknologi internet pada masa kini telah membantu perkembangan penggunaan e-dagang di kalangan orang ramai terutamanya usahawan.  Deengan adanya internet, menjadikan perniagaan tanpa sempadan dan meluaskan pasaran sehingga ke peringkat global. Berdasarkan Perangkaan Utama Perdagangan Luar Negeri, bagi tahun 2015, jumlah eksport kasar adalah sebanyak RM 711,649,000.00 manakala import pula adalah sebanyak RM 625,341,000.00 menjadikan jumlah perdagangan pada 2015 sebanyak RM 1,336,989,000.00. Jumlah ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh penggunaan e-dagang di kalangan usahawan-usahawan di Malaysia mahupun dari luar negara.
            Konsep e-dagang ini telah memudahkan para usahawan untuk berniaga tanpa perlu berulang-alik ke luar negara. Ini telah mempercepatkan masa serta menjimatkan kos operasi. Selain daripada itu, pengguna atau peniaga boleh mendapatkan barangan yang tidak hanya terlingkup di dalam negara sahaja.
            Sebagai sebuah negara terbesar yang merupakan pengeluar barangan halal, usahawan-usahawan di negara ini, perlu mengambil peluang dengan adanya e-dagang bagi meluaskan pasaran mereka di peringkat global.



Tahap Penggunaan E-Dagang Di Malaysia
            Pada masa kini, e-dagang masih dikira sebagai medium perniagaan yang baru. Kebanyakan pengguna mahupun peniaga masih menggunakan cara konvensional iaitu secara bertemu muka. Kebanyakan penggunaan e-dagang di Malaysia hanyalah digunakan untuk membayar bil-bil utiliti, menempah tiket penerbangan dan membeli barang-barang secara online. Kerajaan Malaysia sedang giat mempromosikan e-dagang di kalangan usahawan dan pengguna terutamanya usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Malaysia telah merubah dasar ekonominya iaitu dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan industri bagi meransang perkembangan ekonomi ke arah lebih kompetetif setara dengan negara-negara membangun yang lain. Bagi melaksanakan hasrat ini, kerajaan lebih memfokuskan ekonomi global dengan memperkenalkan k-ekonomi (knowledge economy).
Untuk memudahkan syarikat Malaysia bersaing di peringkat global, ICT akan digunakan sebagai landasan utama terutamanya di dalam sektor kritikal seperti perbankan dan kewangan, logistik, pembuatan dan perkhidmatan-perkhidmatan utama. Kerajaan telah mempromosikan e-dagang dan mempertingkatkan penggunaannya. Untuk bersaing dengan lebih efektif di pasaran global, fokus khas akan diberikan ke arah mempromosi dan menggalakkan penggunaan e-dagang yang lebih luas sebagai satu cara untuk menjalankan perniagaan melalui rangkaian digital. Dengan terlancarnya projek MSC (Multi Media Super Coridor) telah memberikan impak yang besar kepada perkembangan penggunaan e-dagang. Pembukaan bandar pintar iaitu Cyberjaya juga memberi pengaruh yang besar kepada penggunaan e-dagang. Masyarakat di bandar tersebut akan terdedah sepenuhnya kepada pengunaan teknologi internet termasuklah aplikasi e-dagang.
Berdasarkan kaji selidik Euromoney, e-dagang di Malaysia dijangka terus mencatatkan pertumbuhan memberansangkan dengan unjuran bakal melebihi RM 1.9 billion menjelang 2016. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Euno berkata, terdapat potensi yang besar dalam pasaran e-dagang di Malaysia dengan perkembangan sektor ini disokong oleh penggunaan internet serta inovasi teknikal yang telah mengubah hubungan penjual dan pembeli. Terdapat lima trend utama yang dijangka berlaku dan membentuk masa hadapan perbelanjaan dalam talian di seluruh dunia. Ini termasuk semakan pencarian dalam talian akan diterjemah kepada pembelian, peniaga-peniaga kecil akan menggunakan saluran mudah alih, dagangan tablet akan membuka pengalaman dalam talian yang baru, lebih banyak orang akan menggunakan rangkaian sosial untuk membeli-belah dan model penghantaran tempatan lebih fleksibel akan membuat pelanggan lebih setia. Trend-trend tersebut akan dimanfaatkan oleh perniagaan di Malaysia, dan ia akan meransang dan membentuk pertumbuhan kritikal untuk ekonomi. Pada 2011, transaksi aktiviti membeli-belah dalam talian berjumlah RM 842 juta (Utusan Online).



Faktor Yang Mempengaruhi E-Dagang
            Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan e-dagang iaitu kebergunaan, mudah digunakan, pengaruh sosial, kepercayaan, kos, dan keselamatan. Faktor kebergunaan dan faktor mudah digunakan merupakan atribut yang asal daripada Model Penerimaan Teknologi (TAM) yang dipelopori oleh Davis (1989).

i)             Kebergunaan dan kemudahgunaan
Dalam kajian Davis (1989) berhubung mel elektronik (email) dan tahap penerimaan pengguna terhadap sistem berkenaan dua faktor digunakan sebagai pemboleh ubah berhubung dengan Model Penerimaan Teknologi (TAM), iaitu faktor kebergunaan (sangat penting dan berguna) dan faktor mudah digunakan. Hasil kajian tersebut mendapati faktor kebergunaan memiliki tahap signifikan yang kuat terhadap penggunaan sistem e-mail. Oleh yang demikian, faktor ini mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesebuah teknologi baru. Seseorang pengguna akan mengenal pasti atau mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya, dan seterusnya mempengaruhi seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut atau memberhentikannya. Justeru, mudah digunakan merupakan faktor penting yang memberi kesan secara lansung kepada pengguna sama ada mahu membeli secara online atau sebaliknya.

ii)            Pengaruh Sosial
            Pengguna lebih suka memberi cadangan dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan kepada orang lain sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Mereka lazimnya akan memberitahu dan menyarankan kepada rakan mereka yang terdekat supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut. Pengaruh sosial juga memberi kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan sesuatu aplikasi seperti m-commerce.
  
Iii)        Kepercayaan
            Faktor kepercayaan adalah penting dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan pertukaran menerusi elektronik. Faktor kepercayaan merupakan aspek yang paling penting dan rumit dalam suasana persekitaran seperti e-dagang dan m-commerce berbanding dengan perdagangan secara konvensional. Penerimaan terhadap faktor kepercayaan yang tinggi dalam sesebuah laman sesawang  e-pembelian dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna.

iii)           Kos
            Apabila semakin tinggi kos daripada e-dagang tersebut, maka semakin tambah halangan untuk menerima dan menggunakan e-dagang seperti yang dijangkakan. Kesedaran terhadap kos memiliki hubungan yang signifikan terhadap kecenderungan perbandingan pembelian secara online. Pengguna membandingkan terlebih dahulu kos yang ditawarkan dalam sesebuah laman sesawang sebelum melakukan pembelian. Sehubungan dengan itu, pengguna amat menitikberatkan perkara berkenaan dengan kos dalam menggunakan aktiviti yang berkaitan dengan e-dangang. Harga ditakrifkan sebagai jumlah kos kewangan kepada pengguna untuk membeli. Justeru, harga dan kos yang berpatutan merupakan motivasi utama seseorang pengguna online dalam melakukan urusan pembelian menerusi laman sesawang.

iv)          Keselamatan
            Faktor keselematan mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesuatu aplikasi yang baharu seperti dalam aplikasi perbankan elektronik. Penggunaan transaksi melalui elektronik atau internet tidak dapat menjamin keselamatan 100 peratus memandangkan terdapat kes pencerobohan seperti kecurian kata laluan akaun, penggodaman, kod berniat jahat, spam, gangguan, percubaan penembusan untuk mendapatkan informasi sulit, dan sebagainya.

 Kebaikan Penggunaan E-Dagang
            Antara kebaikan dan kelebihan menggunakan e-dagang ialah :-
  • Dapat membantu peniaga memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara
  • Mudah dan cepat berbanding cara perniagaan konvensional
  • Dapat mengurangkan kos
  • Faedah perniagaan atas talian
  • Tiada had masa. Pengguna dapat mengakses laman sesawang 24 jam
  • Membantu pertumbuhan ekonomi negara
  • Penambahan jumlah eksport negara ke luar negara
  • Memudahkan peniaga dan pembeli mendapatkan maklumat yang terkini
  • Menambah aliran wang masuk ke dalam negara
Cabaran / Halangan Penggunaan E-Dagang
            Pada masa kini, kadar penembusan e-dagang di kalangan usahawan di Malaysia masih berada di tahap yang rendah tetapi semakin meningkat dari hari ke hari. Berdasarkan laporan daripada UNDP (United Nations Development Programme) pada 2007, sebab mengapa sebilangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana enggan mengaplikasikan konsep e-dagang dalam perusahaan mereka kerana ketidakpecayaan mereka terhadap keberkesanan e-dagang, pekerja kurang mahir dalam teknologi komputer, pernah mengalami kegagalan semasa cuba menerapkan konsep e-dagang, risaukan akan tahap keselamatan internet dan kurangnya kesedaran terhadap inisiatif kerajaan melaksanakan e-dagang dalam memastikan kemajuan ekonomi terus mampan.
            Risiko yang perlu dihadapi oleh pengguna ataupun peniaga apabila membuat urusan secara atas talian juga telah menjadi halangan penggunaan e-dagang. Mengikut Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, antara aduan yang diterima oleh organisasi berkenaan mengenai e-dagang ialah :
  • Produk yang dibeli tidak diterima
  • Maklumat tidak mencukupi. Contohnya polisi pembayaran balik kepada pengguna
  • Produk yang diterima dalam keadaan yang tidak memuaskan atau rosak
  • Kualiti produk yang rendah
  • Penghantaran produk yang menjangkau masa yang dipersetujui atau dijanjikan
  • Produk yang diterima tidak sama dengan apa yang tertera atas talian
  • Sukar untuk memulangkan barang yang rosak
  • Tidak ada cara yang pasti untuk membatalkan kontrak yang dipersetujui secara atas talian 
Teknologi baru seperti e-dagang perlu dirancang dengan teliti agar ia dapat diterima pakai oleh orang ramai dalam aktiviti seharian mereka. E-dagang juga merangkumi pembayaran bil-bil utiliti, bayaran cukai, saman dan sebagainya. Apabila melibatkan aktiviti perbankan atas talian, bayaran yang diterima oleh syarikat-syarikat utiliti khasnya tidak pada masa yang sama. Kebanyakan bayaran tersebut adalah secara 1+1 dan menyebabkan pengguna kurang menggunakan aplikasi tersebut dalam kehidupan seharian. Oleh itu, satu pendekatan baru perlu diperhalusi oleh syarikat perbankan dan syarikat-syarikat utility agar masalah itu dapat diatasi.

Kesimpulan

            E-dagang adalah penting bagi kemajuan ekonomi negara serta memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak samada pengguna mahupun penjual. Terdapat banyak manafaat yang diterima dengan penggunaan e-dagang. Kerajaan Malaysia telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan e-dagang sentiasa mendapat tempat di kalangan peniaga mahupun pengguna. Walaupun demikian, masih terdapat ruang-ruang yang perlu diperbaiki bagi lebih memantapkan dan menjadikan konsep tersebut diterima oleh orang ramai terutamanya dari aspek keselamatan data peribadi. Dengan termetrinya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik pada 5 Oktober 2015, yang bertujuan meningkatkan perdagangan dan pelaburan di kalangan negara anggota, e-dagang perlulah digunakan secara meluas dan semua pihak tidak kira kerajaan, peniaga mahupun pengguna perlulah memastikan hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi tercapai. Para usahawan Industri Kecil dan Sederhana juga perlu mengambil peluang dengan adanya e-dagang bagi memasarkan produk mereka ke pasaran global terutamanya pembekal  barangan halal yang permintaannya di seluruh dunia semakin meningkat.

Rujukan
Ahmad Syahrul Haniff Mohd Rawi, Siti Zobidah Omar & Muhamad Sham Shahkat Ali, 2011. Tahap hubungan antara pelbagai faktor terpilih dengan keinginan menggunakan e-dagang dalam kalangan pengguna internet. Jurnal Pengajian Media Malaysia, 13 (2), 11-28.
Dian Wirdasari, 2009. Teknologi e-commerce dalam proses bisnes. Jurnal SAINTIKOM, 7 (2), 324-335.
Husnayati Hussin, Rafidah Mohd Nor & Mohd Adam Suhaimi, 2008. Perceived Attributes of e-commerce and the adoption decision : The case of Malaysian SME’s. Jurnal Teknologi Maklumat & Multimedia, 5, 107-125.
Che Mohd Zulkifli Che Omar & Anas, T, (2014). E-Commerce in Malaysia : Development, Implementation and challenges. Jurnal International Review of Management and Busniness Research, 3 (1) (291-298)
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional. (2006). Isu dan cabaran dalam e-dagang. Capaian 10 March 2016, dari http://www.nccc.org.my
Unit Perancang Ekonomi. (2016). Dagangan luar. Capaian 12 March 2016, dari http://www.epu.gov.my
Utusan Online. (2012). Malaysia di jangka catat transaksi e-dagang RM 1.9b. Capaian 10 March 2016, dari http://ww1.utusan.com.my
Wikipedia (2016). Perdagangan elektronik. Capaian 12 March 2016, dari https://ms.wikipedia.org