Pengenalan
Penggunaan internet oleh masyarakat Malaysia
semakin pesat dan berkembang. Ini dapat dibuktikan melalui statistik kedudukan
Malaysia dalam indeks berkaitan ICT yang diukur melalui “Networked Readiness
Index (NRI)” bagi suku ke dua 2015 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia di mana Malaysia menduduki tangga ke 32 dunia. NRI
mengukur keupayaan negara mengeksploitasikan peluang-peluang yang yang
disediakan oleh ICT. Indeks ini telah disusun untuk 115 ekonomi oleh World Economic Forum. Di antara peluang
yang disediakan oleh ICT ialah e-dagang. E-dagang merupakan satu tindakan
melakukan transaksi bisnes secara elektronik dengan menggunakan internet
sebagai medium komunikasi yang paling utama. Ia merujuk kepada perniagaan atau
perdagangan yang menggunakan peralatan dan infrastruktur teknologi komunikasi
dan maklumat sebagai medium untuk tujuan komunikasi dan juga transaksi.
(Wikipedia)
Sejarah Dan Evolusi E-Dagang
Perkembangan
e-dagang bermula sejak kemunculan internet pada tahun 1969 seterusnya
berkembang dan wujudnya e-dagang. Internet wujud pada tahun 1969 di Amerika
iaitu kelompok peneliti berhubungan dengan empat komputer di UCLA, Stanford
Reseach Industri, Universiti Utah dan Universiti California di Santa Barbara.
Mereka telah mencipta sebuah jaringan untuk berkomunikasi di antara satu sama
lain yang dikenali dengan istilah ARPAnet (Advanced Research Project Agency)
yang mana merupakan salah satu bahagian keamanan negara Amerika Syarikat.
Selepas tiga tahun, lebih daripada lima
puluh universiti telah bergabung bersama-sama dalam jaringan (network), dan
jaringan komputer yang lain mulai muncul di sekitar negara dan dunia. Seiring
dengan perkembangan ARPAnet, yang diikuti pula dengan kerjasama jaringan antara
kaum pendidik, dan eksperimen NASA mengenai jaringan komputer, jaringan ini
mulai terhubung di antara satu dengan yang lain, dan muncul lah istilah
internet.
Dalam konteks perniagaan, internet
membawa impak transformasi yang menciptakan paradigma baru dalam dunia perniagaan
yang dikenali sebagai Digital Marketing.
Awal tahun 1990-an, perniagaan di internet mula berkembang pesat mencapai
jutaan pelanggan, maka muncullah istilah baru iaitu Electronic Commerce atau lebih dikenali sebagai e-commerce. Perdagangan elektonik juga
dikenali sebagai e-dagang. E-dagang merupakan sebuah sistem perniagaan yang
menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutamanya telekomunikasi canggih.
E-dagang menggunakan internet untuk
mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual, dan pihak ketiga
seperti bank, syarikat kewangan, dan sebagainya dalam satu persekitaran
elektronik yang selamat untuk semua pihak. Aktiviti e-dagang merangkumi
penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada
pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan
khidmat pelanggan secara online.
Jenis-jenis
e-dagang ialah :
i)
Business
to business (B2B) – Business
to business telah pun digunakan beberapa tahun yang lalu dan juga dikenali
sebagai EDI (Electronic Data Interchange). EDI
dilaksanakan melalui hubungan secara terus antara dua bisnes. Kedua-dua bisnes
ini menghantar maklumat secara elektronik di antara satu sama lain.
ii)
Business
to customer (B2C) melalui internet – Merupakan hubungan
di antara bisnes dengan pelanggan. Contohnya lazada.com menawarkan pelbagai
barangan melalui laman sesawangnya. Pengguna hanya perlu membuat bayaran
melalui kad kredit ataupun e-banking.
iii)
Customer
to customer (C2C) – Contoh laman yang melibatkan
hubungan pelanggan dengan pelanggan adalah laman lelongan. Contohnya eBay.com.
Pelanggan menyenaraikan barang-barang untuk dijual ke laman lelongan. Pelanggan-pelanggan
lain akan masuk ke laman tersebut untuk membuat penawaran.
iv)
M-Commerce – Mobile commerce atau M-Commerce merujuk kepada penggunaan
peranti digital tanpa wayar untuk membolehkan transaksi secara atas talian.
Pelanggan menggunakan rangkaian tanpa wayar untuk menyambungkan telefon selular
dan PDA terus ke web. Pelanggan mobile mampu menjalankan pelbagai
transaksi termasuk perbankan, tempahan pelancongan, urusniaga saham dan
sebagainya.
Kepentingan E-Dagang Dalam Perniagaan
E-dagang adalah berkaitan dengan penjualan, periklanan,
pemesanan produk yang semuanya melalui internet. Jutawan Internet, Irfan Khairi
menyatakan bahawa penggunaan internet sebagai alat bagi mempromosikan produk
dan perkhidmatan dan kelebihan itu digunakan bagi menjalankan urusan penjualan
dengan lebih berkesan. Internet merupakan satu medium komunikasi secara terus
di antara peniaga dengan pembeli tanpa perlu bersemuka.
Penggunaan e-dagang kini telah berkembang dan menjadi
perhatian terutamanya dalam industri yang melibatkan perdagangan, perniagaan,
pelaburan, perbankan dan sebagainya. Pada masa kini, penggunaan telefon pintar
dan laman sosial seperti “facebook”, “Instagram”, dan lain-lain yang meluas di
kalangan masyarakat telah merancakkan lagi pertumbuhan e-dagang di kalangan
masyarakat.
Konsep e-dagang bukan hanya setakat
aktiviti perdagangan dan kewangan sahaja tetapi ia juga dapat meluaskan pasaran
perniagaan ke seluruh negara melalui teknologi komunikasi. Skop e-dagang
terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti peniaga, pembekal,
pembeli, pengguna, pihak kerajaan, pengedar dan lain-lain lagi. Kebanyakkan
syarikat mahupun firma perniagaan memilih untuk menggunakan sistem e-dagang
kerana ianya mudah dikendalikan dan boleh meningkatkan keuntungan.
Jika dahulu, perniagaan dijalankan
hanya menerusi face to face sahaja
tetapi dengan adanya e-dagang, hubungan di antara perusahaan dengan entiti luar
dapat dilakukan dengan lebih cepat, lebih baik dan dengan harga yang lebih
murah.
Kemunculan World Wide Web, subset daripada internet, menyambungkan rangkaian komputer
dengan cara yang lebih spesifik. Ia juga merupakan lambang perubahan penting
untuk perdagangan elektronik dengan mengadakan satu sistem teknologi yang mudah
untuk menyelesaikan masalah dan menyebarkan maklumat. World Wide Web menyediakan paparan muka hadapan piawai (standard
interface) yang memudahkan sesiapa sahaja untuk mengakses maklumat daripada
internet. Disebabkan internet dapat diakses oleh berjuta-juta pengguna di
seluruh dunia, tidaklah memeranjatkan bahawa perdagangan yang berasaskan
prinsip mencari keuntungan, menggunakannya sebagai medium untuk menambah
produktiviti dalam urus niaga mereka.
E-dagang meliputi enam sektor
perniagaan yang utama iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang professional,
peruncitan, dan pelancongan. Kesemua sektor menyumbangkan pertumbuhan yang
ketara terhadap perdagangan melalui talian.
Penggunaan E-Dagang Secara Global
Kepesatan
teknologi internet pada masa kini telah membantu perkembangan penggunaan
e-dagang di kalangan orang ramai terutamanya usahawan. Deengan adanya internet, menjadikan
perniagaan tanpa sempadan dan meluaskan pasaran sehingga ke peringkat global. Berdasarkan
Perangkaan Utama Perdagangan Luar Negeri, bagi tahun 2015, jumlah eksport kasar
adalah sebanyak RM 711,649,000.00 manakala import pula adalah sebanyak RM
625,341,000.00 menjadikan jumlah perdagangan pada 2015 sebanyak RM
1,336,989,000.00. Jumlah ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh penggunaan
e-dagang di kalangan usahawan-usahawan di Malaysia mahupun dari luar negara.
Konsep e-dagang ini telah memudahkan
para usahawan untuk berniaga tanpa perlu berulang-alik ke luar negara. Ini
telah mempercepatkan masa serta menjimatkan kos operasi. Selain daripada itu,
pengguna atau peniaga boleh mendapatkan barangan yang tidak hanya terlingkup di
dalam negara sahaja.
Sebagai sebuah negara terbesar yang
merupakan pengeluar barangan halal, usahawan-usahawan di negara ini, perlu
mengambil peluang dengan adanya e-dagang bagi meluaskan pasaran mereka di
peringkat global.
Tahap Penggunaan E-Dagang Di Malaysia
Pada masa kini, e-dagang masih
dikira sebagai medium perniagaan yang baru. Kebanyakan pengguna mahupun peniaga
masih menggunakan cara konvensional iaitu secara bertemu muka. Kebanyakan
penggunaan e-dagang di Malaysia hanyalah digunakan untuk membayar bil-bil
utiliti, menempah tiket penerbangan dan membeli barang-barang secara online. Kerajaan Malaysia sedang giat
mempromosikan e-dagang di kalangan usahawan dan pengguna terutamanya
usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Malaysia telah merubah
dasar ekonominya iaitu dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi
berasaskan industri bagi meransang perkembangan ekonomi ke arah lebih
kompetetif setara dengan negara-negara membangun yang lain. Bagi melaksanakan
hasrat ini, kerajaan lebih memfokuskan ekonomi global dengan memperkenalkan
k-ekonomi (knowledge economy).
Untuk memudahkan syarikat Malaysia bersaing di peringkat
global, ICT akan digunakan sebagai landasan utama terutamanya di dalam sektor
kritikal seperti perbankan dan kewangan, logistik, pembuatan dan
perkhidmatan-perkhidmatan utama. Kerajaan telah mempromosikan e-dagang dan
mempertingkatkan penggunaannya. Untuk bersaing dengan lebih efektif di pasaran
global, fokus khas akan diberikan ke arah mempromosi dan menggalakkan
penggunaan e-dagang yang lebih luas sebagai satu cara untuk menjalankan
perniagaan melalui rangkaian digital. Dengan terlancarnya projek MSC (Multi
Media Super Coridor) telah memberikan impak yang besar kepada perkembangan
penggunaan e-dagang. Pembukaan bandar pintar iaitu Cyberjaya juga memberi
pengaruh yang besar kepada penggunaan e-dagang. Masyarakat di bandar tersebut
akan terdedah sepenuhnya kepada pengunaan teknologi internet termasuklah
aplikasi e-dagang.
Berdasarkan kaji selidik Euromoney, e-dagang di Malaysia dijangka terus mencatatkan
pertumbuhan memberansangkan dengan unjuran bakal melebihi RM 1.9 billion
menjelang 2016. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online Shopping,
Masaya Euno berkata, terdapat potensi yang besar dalam pasaran e-dagang di
Malaysia dengan perkembangan sektor ini disokong oleh penggunaan internet serta
inovasi teknikal yang telah mengubah hubungan penjual dan pembeli. Terdapat
lima trend utama yang dijangka berlaku dan membentuk masa hadapan perbelanjaan
dalam talian di seluruh dunia. Ini termasuk semakan pencarian dalam talian akan
diterjemah kepada pembelian, peniaga-peniaga kecil akan menggunakan saluran
mudah alih, dagangan tablet akan
membuka pengalaman dalam talian yang baru, lebih banyak orang akan menggunakan
rangkaian sosial untuk membeli-belah dan model penghantaran tempatan lebih
fleksibel akan membuat pelanggan lebih setia. Trend-trend tersebut akan
dimanfaatkan oleh perniagaan di Malaysia, dan ia akan meransang dan membentuk
pertumbuhan kritikal untuk ekonomi. Pada 2011, transaksi aktiviti membeli-belah
dalam talian berjumlah RM 842 juta (Utusan Online).
Faktor Yang Mempengaruhi E-Dagang
Terdapat
beberapa faktor yang mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan e-dagang
iaitu kebergunaan, mudah digunakan, pengaruh sosial, kepercayaan, kos, dan
keselamatan. Faktor kebergunaan dan faktor mudah digunakan merupakan atribut
yang asal daripada Model Penerimaan Teknologi (TAM) yang dipelopori oleh Davis
(1989).
i)
Kebergunaan
dan kemudahgunaan
Dalam kajian Davis (1989) berhubung mel elektronik
(email) dan tahap penerimaan pengguna terhadap sistem berkenaan dua faktor
digunakan sebagai pemboleh ubah berhubung dengan Model Penerimaan Teknologi
(TAM), iaitu faktor kebergunaan (sangat penting dan berguna) dan faktor mudah
digunakan. Hasil kajian tersebut mendapati faktor kebergunaan memiliki tahap
signifikan yang kuat terhadap penggunaan sistem e-mail. Oleh yang demikian, faktor
ini mempengaruhi keinginan pengguna untuk menggunakan sesebuah teknologi baru. Seseorang
pengguna akan mengenal pasti atau mencuba sesebuah aplikasi yang disediakan
sama ada ia mudah digunakan atau sebaliknya, dan seterusnya mempengaruhi
seseorang pengguna untuk terus mencuba atau menggunakan sistem tersebut atau
memberhentikannya. Justeru, mudah digunakan merupakan faktor penting yang
memberi kesan secara lansung kepada pengguna sama ada mahu membeli secara online atau sebaliknya.
ii)
Pengaruh
Sosial
Pengguna lebih suka memberi cadangan
dan saranan berkaitan sesuatu perkhidmatan yang digunakan kepada orang lain
sekiranya mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Mereka
lazimnya akan memberitahu dan menyarankan kepada rakan mereka yang terdekat
supaya turut mencuba dan menggunakan sistem tersebut. Pengaruh sosial juga
memberi kesan yang lebih mendalam terhadap penerimaan sesuatu aplikasi seperti m-commerce.
Iii) Kepercayaan
Faktor kepercayaan adalah penting
dalam hal yang berkaitan dengan risiko dan pertukaran menerusi elektronik.
Faktor kepercayaan merupakan aspek yang paling penting dan rumit dalam suasana
persekitaran seperti e-dagang dan m-commerce
berbanding dengan perdagangan secara konvensional. Penerimaan terhadap faktor
kepercayaan yang tinggi dalam sesebuah laman sesawang e-pembelian dapat meningkatkan tahap keyakinan
pengguna.
iii)
Kos
Apabila semakin tinggi kos daripada
e-dagang tersebut, maka semakin tambah halangan untuk menerima dan menggunakan
e-dagang seperti yang dijangkakan. Kesedaran terhadap kos memiliki hubungan
yang signifikan terhadap kecenderungan perbandingan pembelian secara online. Pengguna membandingkan terlebih
dahulu kos yang ditawarkan dalam sesebuah laman sesawang sebelum melakukan
pembelian. Sehubungan dengan itu, pengguna amat menitikberatkan perkara
berkenaan dengan kos dalam menggunakan aktiviti yang berkaitan dengan
e-dangang. Harga ditakrifkan sebagai jumlah kos kewangan kepada pengguna untuk
membeli. Justeru, harga dan kos yang berpatutan merupakan motivasi utama
seseorang pengguna online dalam
melakukan urusan pembelian menerusi laman sesawang.
iv)
Keselamatan
Faktor keselematan mempengaruhi
keinginan pengguna untuk menggunakan sesuatu aplikasi yang baharu seperti dalam
aplikasi perbankan elektronik. Penggunaan transaksi melalui elektronik atau
internet tidak dapat menjamin keselamatan 100 peratus memandangkan terdapat kes
pencerobohan seperti kecurian kata laluan akaun, penggodaman, kod berniat
jahat, spam, gangguan, percubaan
penembusan untuk mendapatkan informasi sulit, dan sebagainya.
Kebaikan Penggunaan E-Dagang
Antara
kebaikan dan kelebihan menggunakan e-dagang ialah :-
- Dapat membantu peniaga memasarkan produk
mereka sehingga ke luar negara
- Mudah dan cepat berbanding cara
perniagaan konvensional
- Dapat mengurangkan kos
- Faedah perniagaan atas talian
- Tiada had masa. Pengguna dapat mengakses
laman sesawang 24 jam
- Membantu pertumbuhan ekonomi negara
- Penambahan jumlah eksport negara ke luar
negara
- Memudahkan peniaga dan pembeli
mendapatkan maklumat yang terkini
- Menambah aliran wang masuk ke dalam
negara
Cabaran / Halangan Penggunaan E-Dagang
Pada
masa kini, kadar penembusan e-dagang
di kalangan usahawan di Malaysia masih berada di tahap yang rendah tetapi
semakin meningkat dari hari ke hari. Berdasarkan laporan daripada UNDP (United
Nations Development Programme) pada 2007, sebab mengapa sebilangan usahawan
Perusahaan Kecil dan Sederhana enggan mengaplikasikan konsep e-dagang dalam
perusahaan mereka kerana ketidakpecayaan mereka terhadap keberkesanan e-dagang,
pekerja kurang mahir dalam teknologi komputer, pernah mengalami kegagalan
semasa cuba menerapkan konsep e-dagang, risaukan akan tahap keselamatan
internet dan kurangnya kesedaran terhadap inisiatif kerajaan melaksanakan
e-dagang dalam memastikan kemajuan ekonomi terus mampan.
Risiko yang perlu dihadapi oleh
pengguna ataupun peniaga apabila membuat urusan secara atas talian juga telah
menjadi halangan penggunaan e-dagang. Mengikut Pusat Khidmat Aduan Pengguna
Nasional, antara aduan yang diterima oleh organisasi berkenaan mengenai
e-dagang ialah :
- Produk yang dibeli tidak diterima
- Maklumat tidak mencukupi. Contohnya
polisi pembayaran balik kepada pengguna
- Produk yang diterima dalam keadaan yang
tidak memuaskan atau rosak
- Kualiti produk yang rendah
- Penghantaran produk yang menjangkau masa
yang dipersetujui atau dijanjikan
- Produk yang diterima tidak sama dengan
apa yang tertera atas talian
- Sukar untuk memulangkan barang yang
rosak
- Tidak ada cara yang pasti untuk membatalkan kontrak yang dipersetujui secara atas talian
Teknologi baru seperti e-dagang perlu dirancang dengan
teliti agar ia dapat diterima pakai oleh orang ramai dalam aktiviti seharian
mereka. E-dagang juga merangkumi pembayaran bil-bil utiliti, bayaran cukai,
saman dan sebagainya. Apabila melibatkan aktiviti perbankan atas talian,
bayaran yang diterima oleh syarikat-syarikat utiliti khasnya tidak pada masa
yang sama. Kebanyakan bayaran tersebut adalah secara 1+1 dan menyebabkan
pengguna kurang menggunakan aplikasi tersebut dalam kehidupan seharian. Oleh
itu, satu pendekatan baru perlu diperhalusi oleh syarikat perbankan dan
syarikat-syarikat utility agar masalah itu dapat diatasi.
Kesimpulan
E-dagang adalah penting bagi
kemajuan ekonomi negara serta memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak samada
pengguna mahupun penjual. Terdapat banyak manafaat yang diterima dengan
penggunaan e-dagang. Kerajaan Malaysia telah melakukan pelbagai inisiatif bagi
memastikan e-dagang sentiasa mendapat tempat di kalangan peniaga mahupun
pengguna. Walaupun demikian, masih terdapat ruang-ruang yang perlu diperbaiki
bagi lebih memantapkan dan menjadikan konsep tersebut diterima oleh orang ramai
terutamanya dari aspek keselamatan data peribadi. Dengan termetrinya Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik pada 5 Oktober 2015, yang bertujuan meningkatkan
perdagangan dan pelaburan di kalangan negara anggota, e-dagang perlulah
digunakan secara meluas dan semua pihak tidak kira kerajaan, peniaga mahupun
pengguna perlulah memastikan hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi
tercapai. Para usahawan Industri Kecil dan Sederhana juga perlu mengambil
peluang dengan adanya e-dagang bagi memasarkan produk mereka ke pasaran global
terutamanya pembekal barangan halal yang
permintaannya di seluruh dunia semakin meningkat.
Rujukan
Ahmad Syahrul Haniff Mohd Rawi, Siti Zobidah Omar &
Muhamad Sham Shahkat Ali, 2011. Tahap hubungan antara pelbagai faktor terpilih
dengan keinginan menggunakan e-dagang dalam kalangan pengguna internet. Jurnal Pengajian Media Malaysia, 13 (2),
11-28.
Dian Wirdasari, 2009. Teknologi e-commerce dalam proses
bisnes. Jurnal SAINTIKOM, 7 (2),
324-335.
Husnayati Hussin, Rafidah Mohd Nor & Mohd Adam
Suhaimi, 2008. Perceived Attributes of e-commerce and the adoption decision :
The case of Malaysian SME’s. Jurnal
Teknologi Maklumat & Multimedia, 5, 107-125.
Che Mohd Zulkifli Che Omar & Anas, T, (2014).
E-Commerce in Malaysia : Development, Implementation and challenges. Jurnal International Review of Management
and Busniness Research, 3 (1) (291-298)
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional. (2006). Isu dan
cabaran dalam e-dagang. Capaian 10 March 2016, dari http://www.nccc.org.my
Unit Perancang Ekonomi. (2016). Dagangan luar. Capaian 12
March 2016, dari http://www.epu.gov.my
Utusan Online. (2012). Malaysia di jangka catat transaksi
e-dagang RM 1.9b. Capaian 10 March 2016, dari http://ww1.utusan.com.my





